Tuesday, August 5, 2008

Pemuda PAS Perak buat aduan polis terhadap kenyataan Tajol Rosli

Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Norazli Musa semalam telah membuat satu laporan polis terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato' Tajol Rosli Ghzali sebagaimana yang disiarkan akhbar Berita Harian pada 29 Julai lalu di Pejabat Polis Ipoh (IPK) dan meminta pihak polis menyiasat terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

Beliau menyifatkan kenyataan itu sebagai satu bentuk rasuah apabila bekas Menteri Besar Perak itu mengajak PAS bergabung dengan Umno bagi membentuk Kerajaan Negeri Perak yang lebih kukuh.

"Umno Perak mengajak PAS bentuk kerajaan dan wakil PAS terus menjadi Menteri Besar. Tidakkah ia menggambarkan satu bentuk rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997?" katanya.

Kenyataan Tajol Rosli itu juga menyebut Umno Perak bersedia membenarkan wakil PAS terus menjadi Menteri Besar Perak dan keanggotaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diagihkan mengikut kesesuaian antara parti gabungan.

"Sebelum ini pemimpin kanan Umno begitu marah apabila ada cadangan anggota parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat, tetapi ternyata kini pimpinamn tertinggi Umno Perak yang dilihat cuba melakukan 'rasuah' dengan mempelawa wakil rakyat PAS bergabung dengan Umno," ujar beliau.

"Mengambil kira aspek tersebut Dewan Pemuda PAS Perak hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang disifatkan sebagai berunsur rasuah," tegasnya.

"Berdasarkan kenyataan itu jelas menunjukkan terdapatnya unsur 'tawaran jawatan' yang boleh disifatkan sebagai rasuah yang menyalahi Akta Pencegahan Rasuah 1997," katanya.

Ustaz Norazli menyifatkan kenyataan itu seumpama orang yang sudah tersepit dan mengharapkan pertolongan orang lain, sekali gus menggambarkan kekecewaan yang amat sangat yang dirasai oleh Umno Perak lantaran kehilangan kuasa memerintah negeri ini.

Tindakan itu juga menurut beliau menggambarkan cita cita sebenar Umno Perak yang masih berhasrat untuk berkuasa walaupun sudah ditolak rakyat pada pilihan raya umum ke-12 baru baru ini, jelas beliau. - Johari Jaafar


--HarakahDaily.Net

No comments: